arena

Morris lonjak AS

Washington: Dua gol sumbangan Jordan Morris membantu Amerika Syarikat mengatasi Martinique 3-2 semalam dalam aksi Piala Emas Concacaf di Tampa, Florida.

Anak buah Bruce Arena, yang seri 1-1 dengan Panama pada aksi pembukaan mereka, sekali lagi kurang menyerlah, mensia-siakan pendahuluan 2-0 menentang pasukan kerdil Martinique sebelum gol Morris pada minit ke-76 memastikan kemenangan.

“Satu perkara yang kami cuba lakukan dalam kejohanan ini adalah memantau pemain yang kurang digunakan sebelum ini,” kata Arena.

“Saya fikir kami bermain hebat malam ini,” katanya. “Kami bersalah kerana menyebabkan perlawanan ini menjadi lebih sukar tapi pujian patut diberikan kepada Martinique.”

Omar Gonzalez mengatasi perasaan gemuruh untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-53, menampan masuk gol antarabangsa keduanya selepas rembatan rakan sepasukan Paul Arriola ditumbuk keluar penjaga gol Martinique, Olimpa.

AS menggandakan kedudukan pada minit ke-64 apabila hantaran lintang Eric Lichaj dari sebelah kanan singgah di kaki Morris.

Namun Martinique menyamakan kedudukan dalam tempoh kurang 10 minit menerusi dua gol Kevin Parsemain pada minit ke-66 dan 75.

Seminit kemudian Morris menyambut hantaran lintang Gyasi Zardes dengan tendangan padu melepasi Olimpa bagi gol kemenangan. - AFP

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 11:07am
d