arena

Rombak pasukan

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Bakal ada rombakan kecil dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada pertembungan menentang Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Ulisses Morais berkata, pasukan itu tidak dapat menggunakan khidmat Amirul Hadi Zainal, Muhd Fazly Mazlan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham selepas ketiga-tiga pemain itu digantung satu perlawanan kerana mengumpul tiga kad kuning.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Portugal itu tampak tidak cemas dengan ketiadaan Fazly dan Azrif di bek kiri kerana percaya pengganti yang bakal diturunkan mampu menggalas tugas mengemudi posisi berkenaan.

“Saya kehilangan dua pemain yang sering beraksi di posisi bek kiri tapi tidak perlu panik kerana bakal ada pengganti yang baik.

“Kami akan sekali lagi menentang Sarawak dan kemenangan 2-0 ketika menewaskan mereka pada aksi Piala Malaysia sudah tinggal sejarah dan pertembungan liga pasti berbeza kerana mereka juga mahukan kemenangan apabila dibimbing jurulatih baru.

“Sarawak mungkin menurunkan barisan terkuat malah saya jangkakan pemain import mereka, Mateo Roskam yang tidak diturunkan ketika menentang kami pasti bermain kali ini, jadi kami harus berwaspada.

“Pemain juga usah terlalu memikirkan memburu kejuaraan liga walaupun itu sasaran kami,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 3:14am
d