arena

Helah Myanmar

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Datuk Ong Kim Swee berwaspada dengan perangkap Myanmar yang dilihat cuba menyembunyikan kekuatan sebenar sebelum saingan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur bulan depan.

Meskipun anak buahnya menang 2-0 ke atas Myanmar yang juga naib juara Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu, namun Kim Swee sedar rakan sejawatnya Gerd Zeise merehatkan beberapa pemain utama dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam itu.

“Mungkin itu taktik mereka. Mereka sebelum ini sudah berlatih dan bermain bersama selama tiga minggu dengan beraksi menentang Hong Kong, Kemboja dan Universiti Jepun dalam perlawanan persahabatan, jadi beliau tidak perlu menguji pemain utama.

“Situasi saya pula berbeza kerana saya gagal mendapatkan pemain untuk tempoh lama. Jadi saya perlu menguji kesebelasan utama.

“Bagaimanapun ini keputusan yang baik untuk menaikkan semangat pemain sebelum berlepas ke Bangkok bagi saingan Kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 minggu depan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Myanmar yang bakal menjadi pencabar utama Malaysia dalam saingan Kumpulan A Sukan SEA selain Singapura, Laos dan Brunei tidak menurunkan beberapa pemain utama seperti Aung Thu, Than Paing, Maung Maung Lwin dan Hlaing Bo Bo.

Bagaimanapun kemenangan menerusi jaringan N Thanabalan dan Danial Ashraf Abdullah pada setiap babak pada aksi berlangsung dalam hujan lebat itu sesuatu yang positif buat Kim Swee yang hanya sempat mengumpulkan 26 pemain sehari sebelum perlawanan.

“Keputusan yang baik tapi saya masih belum berpuas hati sepenuhnya. Saya harap pemain kekalkan corak permainan seperti sebelum ini tapi kita gementar sebab lama tidak bermain bersama.

“Kita tak dapat keluarkan bola dari kawasan sendiri dengan lebih tersusun, mungkin ini sebab kita hanya berlatih sehari dan pemain agak penat,” katanya.

Kim Swee dan anak buahnya bakal berlepas ke Bangkok, Isnin ini bagi Kelayakan Kejohanan AFC B-23 yang menyaksikan mereka diundi dalam Kumpulan H bersama pasukan tuan rumah Thailand, Indonesia dan Mongolia.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 3:32am
d