arena

Nelson ada gaya pemain utama Arsenal

Sydney: Pengurus Arsenal Arsene Wenger berkata, pemain remaja Reiss Nelson sudah semakin hampir untuk berada dalam skuad utama selepas mempamer persembahan meyakinkan ketika Gunners menang 2-0 pada perlawanan persahabatan di Australia.

Pemain berusia 17 tahun itu bermain seperti seorang bintang dan sering mengkucar-kacirkan pertahanan Sydney FC menerusi larian pantas dan skil hebat.

Ketika Alexandre Lacazette mencuri tumpuan dengan gol pada penampilan pertamanya bersama Arsenal, aksi Nelson membuatkan Wenger tersenyum bangga.

“Saya sudah lama bergelumang dengan profesion ini dan saya dapat tahun sama anda memiliki keyakinan untuk bermain atau tidak,” kata Wenger.

“Semua mereka bertindak cemerlang hari ini, Reiss Nelson, Joe Willock semuanya mempamer kematangan. Mereka masih muda, hanya 17 atau 18 tahun dan apa yang mereka persembahkan ini sangat meyakinkan.”

Nelson bermain sebanyak 35 kali bersama skuad remaja Arsenal musim lalu dan menjaringkan tujuh gol selain turut disenaraikan untuk skuad B-17 England.

Gunners akan terus berada di Sydney untuk menentang juara Liga Juara-Juara Asia 2014 Western Sydney Wanderers di Stadium Olimpik hari ini dan Wenger turut terharu dengan sambutan yang diberikan penyokong kelabnya di Australia.

“Terdapat kira-kira 80,000 penyokong hadir menyaksikan perlawanan dan ia membuktikan betapa kami turut mempunyai sokongan di Australia,” katanya.

Wenger memuji penjaga gol Sydney FC Andrew Redmayne dan menganggapnya sebagai pemain terbaik perlawanan selepas beberapa kali menyelamatkan gawangnya daripada terus dibolosi jentera depan Gunners. - AFC

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 4:02am
d