arena

Bonucci milik Milan

Oleh AFP

Rome: Pertahanan antarabangsa Itali Leonardo Bonucci (gambar) berpindah ke AC Milan secara mengejut selepas meninggalkan juara Itali Juventus, kata kelab San Siro itu semalam.

Dalam satu kenyataan, AC Milan mengesahkan bahawa mereka sudah mencapai persetujuan dengan Juventus dan pemain pertahanan tengah itu akan menandatangani kontrak lima tahun bergantung kepada keputusan ujian perubatan.

Bonucci pernah memenangi enam gelaran Serie A secara berturut-turut bersama Juve tetapi berpindah secara percuma ke AC Milan.

Pemain berusia 30 tahun itu dilaporkan menerima gaji sebanyak 10 juta euro (RM49.2 juta) semusim yang menjadikannya pemain dengan gaji tertinggi di Serie A.

Pertahanan tengah itu dilihat tiba di ibu pejabat Milan menerusi rakaman video yang dikeluarkan laman web rasmi kelab.

Milan yang juga bekas juara Eropah sebanyak tujuh kali itu sedang mengukuhkan pasukan apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam musim lalu dan ia adalah kedudukan paling tinggi sejak kempen 2012-13.

Bonucci hadir tiga hari selepas penjaga gol berusia 18 tahun, Gianluigi Donnarumma yang dilabel sebagai bakal penjaga gawang terhebat dunia, bersetuju melanjutkan kontrak di San Siro hingga 2021.

Corriere della Sera melaporkan, perpindahan Bonucci didorong hubungan dinginnya dengan jurulatih Massimiliano Allegri yang pernah membimbing kelab gergasi Turin itu ke dua final Liga Juara-Juara.

Bonucci yang memulakan kariernya di Inter, menafikan bahawa dia berbalah dengan rakan sepasukannya ketika rehat final Liga Juara-Juara di Cardiff yang dimenangi Real Madrid 4-1.

Disiarkan pada: July 16, 2017 @ 3:45am
d