arena

Sanggup buat apa sahaja

Oleh Saiful Affendy Sapran

Petaling Jaya: Datuk Lee Chong Wei menegaskan dia sanggup melakukan apa saja arahan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek dalam menghadapi kemuncak kerjayanya - Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland bulan depan.

Jelas jaguh perseorangan negara itu, dia tidak kisah apa juga keperitan yang terpaksa diharungi ketika sesi latihan di bawah bimbingan Misbun asalkan pada akhirnya jerih perih itu membuahkan hasil.

“Sebelum Misbun kembali ke BAM, kami sudah mengadakan perbincangan mengenai banyak perkara termasuk corak permainan saya.

“Jadi dalam tempoh dua minggu selepas Misbun kembali ke BAM, saya sudah menjalani sesi latihan maksimum. Saya tak kisah kepayahan dilalui.

“Saya tahu tanggungjawab yang harus dipikul dan saya sama sekali tidak pernah melupainya.

“Walau macam mana sukar sekalipun sesi latihan itu, saya akan berusaha bersungguh-sungguh.

“Sama ada kalah atau menang, itu akan difikirkan kemudian. Bagi saya yang penting persiapan mesti terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka BAM semalam.

Ditanya perbezaan berada di bawah bimbingan Misbun selepas dua minggu legenda badminton negara itu kembali ke BAM, Chong Wei berkata: “Luar biasa.

“Tapi bagi saya itu perkara yang biasa sebab pernah berada di bawah bimbingannya.

“Saya tidak pernah mengatakan tidak dengan apa diarahkannya walaupun pada sesetengah pihak ia sesuatu yang sukar.”

Disiarkan pada: July 16, 2017 @ 4:41am
d