arena

RM5,000 jadi rebutan

Kuala Lumpur: Hadiah wang tunai RM5,000 dan piala pusingan menjadi buruan buat 16 pasukan yang beraksi dalam Liga Anak Raub yang dipertandingkan buat kali pertama anjuran Kelab Anak Raub.

Menurut Presiden Kelab Anak Raub, Fadzli Mohamad Kamal, matlamat utama kejohanan itu untuk menjadikan sukan sebagai medium memupuk semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan warga Raub.

“Kejohanan ini amat penting dalam memupuk dan menyemai semangat kesukanan serta gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk daerah ini,” katanya selepas majlis pelancaran Liga Anak Raub yang dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Shahiruddin Ab Moin di Sekolah Kebangsaan Mahmud semalam.

Jelas Fadzli, kejohanan itu juga akan menjadi platform buat penduduk Raub berhimpun tanpa mengira batasan kaum dengan menonton sambil beriadah.

“Kami juga mahu membangkitkan semula aura bola sepak di Raub untuk kembali bersaing dan digeruni di peringkat negeri Pahang,” katanya.

Penyertaan dalam liga itu terhad kepada 16 pasukan dan pemainnya pula tertutup kepada individu yang sama ada lahir, bermastautin, belajar atau bekerja di Raub saja.

Liga itu menggunakan format pertandingan yang dibahagikan kepada dua pusingan (pusingan awal dan kalah mati), yang mana pada pusingan awal, semua 16 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dan perlawanan diadakan secara round robin.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 3:07pm
d