arena

Intai tiga mata

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Jurulatih Pahang Dollah Salleh mahu pemainnya menjadikan kemenangan 3-1 ke atas PKNS FC Sabtu lalu, sebagai suntikan semangat untuk mengutip tiga mata apabila berdepan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Ini kerana selepas dua perlawanan, skuad Tok Gajah gagal mencatat kemenangan apabila seri 1-1 dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dan Negeri Sembilan (2-2) untuk berada di kedudukan ketiga Kumpulan A dengan dua mata.

Pahang perlu mencatat kemenangan ke atas T-Team jika mahu memberi saingan terutama merebut tempat ke suku akhir piala berprestij itu memandangkan PKNP FC dilihat menyerlah dengan empat mata.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu berkata, kebangkitan yang dipersembahkan pemainnya ketika memebnam PKNS FC dalam saingan Liga Super diharap dapat dipamerkan apabila bertemu kelab Terengganu itu.

“Saya mengharapkan kemenangan itu menjadi suntikan semangat buat pemain untuk meraih tiga mata pertama dalam saingan Piala Malaysia selepas sekadar seri dengan Negeri Sembilan dan PKNP FC.

“Saya percaya pemain akan kembali mempamerkan persembahan meyakinkan biarpun beraksi di tempat lawan,” katanya semalam.

Sementara itu, kapten pasukan Saiful Nizam Miswan berkata, tiga mata menjadi matlamat utama skuad Tok Gajah untuk kembali berada pada kedudukan terbaik dalam kumpulan.

Dua keputusan seri sebelum ini menyebabkan skuad Tok Gajah perlu bekerja keras mempamerkan prestasi terbaik untuk merebut tempat lapan pasukan terbaik.

“Saya harap rakan sepasukan dapat meningkatkan kualiti permainan yang lebih baik sekali gus kembali berada pada kedudukan terbaik dalam kumpulan,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 8:54am
d