arena

Selangor lega

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kepulangan semula tiga tonggak Selangor daripada penggantungan iaitu Amri Yahyah, Andik Vermansyah dan Razman Roslan nyata memberi suntikan semangat tambahan buat skuad kendalian P Maniam apabila turun melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam saingan kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam ini.

Kehadiran tiga tonggak utama itu sudah pasti memberi ramuan tambahan buat skuad Red Giants yang sebelum itu sekadar terikat 1-1 bertemu Kedah dalam aksi Liga Super, hujung minggu lalu.

Jelas Maniam, beliau kini boleh merancang strategi yang lebih ampuh dengan kehadiran pemain berpengalaman itu dengan misi untuk melakar kemenangan di halaman sendiri.

“Saya akui Johor DT pasukan yang lebih baik terutamanya kombinasi antara pemain import dan pemain tempatan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

“Namun, moral pasukan berada dalam keadaan baik dan momentum yang diraih dalam dua perlawanan sebelum ini akan diteruskan.

“Dengan disiplin serta pertahanan yang kemas dan usaha keras di tengah padang, kami pasti akan dapat memberi tentangan kepada pelawat.

“Tambahan pula, dengan kehadiran tiga pemain (Amri, Andik dan Razman) yang kembali menyertai kami, ini akan memberikan ruang untuk saya merancang strategi lebih baik tapi semuanya bergantung kepada prestasi pemain di tengah padang,” katanya semalam.

Mengulas mengenai status tonggak importnya Rufino Segovia, Maniam menegaskan khidmat pemain dari Sepanyol itu terpaksa dilupakan ekoran masalah kecederaan yang dialami ketika menentang Kedah.

“Rufino tidak akan bermain kerana mengalami kecederaan. Jadi, saya sudah memikirkan pemain yang sesuai untuk menggantikan posisi pemain itu bagi perlawanan malam esok (malam ini),” katanya.

Ketika ini, juara sebanyak 33 kali Piala Malaysia itu berkongsi mata dengan skuad Harimau Selatan dengan empat mata untuk berada di posisi kedua yang dibezakan dengan jumlah gol selepas mengharungi dua aksi.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 8:57am
d