arena

Pecutan Perak

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pelari Negeri Sembilan, Haikal Hanafi berjaya mencuri tumpuan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia selepas mengetepikan nama besar walaupun hanya meraih perak 100 meter lelaki akhir semalam.

Haikal yang merakam catatan masa 10.55 saat menduduki tempat kedua di belakang pemenang pingat emas iaitu pelari Maldives, Hassan Saaid (10.49s).

“Saya pun tidak sangka dapat menumpaskan mereka (Badrul Hisyam Manap, Aqil Yasmin dan Nixson Kennedy). Saya berharap tersenarai dalam kuartet 4x100 lari berganti-ganti, ” kata Haikal selepas tamat perlumbaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ujar pelari berusia 18 tahun itu andai dia terpilih ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dia berjanji akam memberikan yang terbaik kerana sebelum ini namanya tidak disenaraikan.

Badrul Hisyam yang mewakili Melaka meraih gangsa selepas mencatat masa 10.62s, manakala Nixson dari Sarawak di tempat keempat (10.67s).

Dalam acara 100m wanita, Siti Fatimah Mohamad yang mewakili Johor ternyata unggul selepas muncul juara dengan mencatat masa 11.91s, mengetepikan atlet Terengganu, S Komalam Sally (11.97s).

Tempat ketiga acara itu diraih pelari Filipina, Eloiza Luzon yang merakam masa 11.99s.

Sementara itu, dalam acara lompat bergalah lelaki, Afiq Ahmad Alham dari Johor berjaya meraih emas selepas melakuksn catatan 4.40 meter, menumpaskan Arif Haiqal Azizi (Kuala Lumpur) 4.05m, manakala Luqman Zuki (Kedah) di tempat ketiga 4.00m.

Ashraf Saipu Rahman dari Terengganu pula meraih emas acara lompat tinggi selepas melakukan lompatan 2.11m, mengetepikan Norshafiee Md Shah (Johor) 2.11m, manakala Narongrit Katsaeng (Thailand) di tempat ketiga 2.09m.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 9:03am
d