arena

Amaran penerjun negara

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Andai sudah biasa menguasai pentas dunia, pastinya tiada masalah buat penerjun negara menguasai temasya Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan.

Skuad terjun negara yang dibimbing ketua jurulatih Yang Zhuliang dijangka mudah untuk menyapu bersih semua 13 pingat emas yang ditawarkan.

Malah kejayaan pasangan penerjun wanita negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, awal pagi semalam mengukuhkan lagi kedudukan penerjun negara.

Pandelela dan Jun Hoong yang meraih perak di Sukan Olimpik Rio 2016, menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengumpul 328.74 mata pada hari ketiga kejohanan.

Seperti diduga pasangan pilihan dari China, Ren Qian dan Si Yajie meraih emas dengan 352.56 mata manakala perak milik pasangan Korea Utara, Kim Mi Rae dan Kim Kuk Hyang yang mengumpul 336.48 mata.

Pandelela dan Jun Hoong mempamerkan terjunan konsisten dalam dua terjunan awal apabila mengumpul 106.80 mata untuk berada di ranking pertama sebelum gandingan China dan Korea itu bangkit memintas pada terjunan ketiga.

Bagi dua terjunan terakhir, pasangan negara mengutip 76.84 dan 76.80 mata untuk menghadiahkan pingat pertama buat kem Malaysia pada kejohanan dunia itu.

“Kami amat gembira dan bersyukur. Biarpun ia pingat gangsa tapi inilah bukti hasil pengorbanan dan usaha gigih kami selama ini. Kami amat bangga kerana dapat melakukan yang terbaik pada pusingan akhir.

“Namun kami tidak akan berputus asa untuk melakukan aksi lebih baik selepas ini dan berusaha untuk memperbaiki prestasi kami,” ujar Pandelela.

Kedua-dua penerjun itu akan turun sekali lagi dalam acara 10m platform individu hari ini manakala penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri akan berganding dengan Wendy Ng dalam acara 3m papan anjal seirama.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 9:12am
d