arena

Cabar mental, fizikal

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bukit Merah: Simulasi disertai 15 peserta dijalankan semalam bagi menyediakan trek terbaik serta mencabar kepada peserta Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) siri pertama di Bukit Merah Laketown Resort pada 29 Julai ini.

Pengerusi Kejohanan HMMTB Grand Prix merangkap Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro, Husain Jahit (gambar) berkata, simulasi yang diadakan jam 8.30 pagi itu dimulakan dari pekarangan Bukit Merah Laketown dengan jarak sejauh 48 kilometer menyusuri laluan rasmi perlumbaan.

Menurutnya, berdasarkan simulasi diadakan semalam menunjukkan peserta akan berhadapan laluan berbukit bagi tujuh kilometer awal sekali gus memerlukan daya ketahanan tinggi dari segi mental dan fizikal.

“Selepas laluan mencabar itu, peserta akan melalui laluan landai dan terbuka menyusuri laluan kampung dengan pemandangan kebun kelapa sawit, sawah padi dan hutan.

“Namun laluan landai dan terbuka yang akan dilalui peserta juga agak mencabar yang mana mereka akan diuji dengan keadaan laluan yang tidak rata dan berbatu,” katanya.

Husain berkata, laluan trek di Bukit Merah itu adalah laluan pengenalan kepada kejohanan HMMTB sebelum dua kejohanan seterusnya di Selangor dan Terengganu menanti peserta dengan laluan lebih mencabar.

“Walaupun begitu, kami sentiasa menasihat serta mengingatkan mereka yang menyertai HMMTB di Bukit Merah supaya lebih berhati-hati dan menjaga keselamatan diri sepanjang perlumbaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kerian, Rahmat Paimin berkata, seramai 12 anggota APM akan ditugaskan di lokasi kejohanan sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang ia berlangsung.

“APM akan sediakan skuad bermotosikal di setiap ‘check point’ yang tidak dapat dilalui kereta atau pacuan empat roda bagi memudahkan operasi menyelamat jika berlaku sebarang kecemasan.

“Sebanyak empat ambulans iaitu dari APM, Jabatan Kesihatan, Bomba dan pihak persendirian HMMTB akan berada di beberapa lokasi,” katanya.

Rahmat berkata, pihaknya menasihatkan peserta supaya mementingkan aspek keselamatan terutamanya ketika hujan kerana lokasi trek akan menjadi licin menyebabkan mereka mudah terjatuh.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 9:26am
d