arena

Tak terfikir gelaran ke-8

Oleh AFP

London: Roger Federer (gambar) mengakui kelmarin dia tidak terfikir mampu menjulang gelaran Wimbledon buat kali kelapan dan mungkin ketawa besar apabila diberitahu akan menjuarai dua kejohanan utama tahun ini.

Bintang Switzerland itu yang akan menyambut ulang tahun ke-36 dalam tempoh tiga minggu lagi berjaya melepasi tujuh gelaran di Kelab All England yang dikongsi bersama dengan Pete Sampras menerusi kemenangan 6-3, 6-1, 6-4 ke atas Marin Cilic yang mengalami kecederaan pada aksi final.

Federer menewaskan Sampras di Wimbledon 16 tahun lalu untuk menjadi bintang harapan.

Bagaimanapun dia perlu menunggu hingga 2003 untuk menjulang gelaran Kelab All England buat kali pertama. Kini dia memiliki 19 gelaran utama, empat di depan pencabar terdekat Rafael Nadal.

“Saya tidak fikir saya akan berjaya seperti ini selepas menewaskan Pete di sini,” kata Federer yang juga menjuarai gelaran Terbuka Australia Januari lalu.

“Saya juga berharap dapat berada di final Wimbledon dan berpeluang menjuarai kejohanan itu.

“Menjuarai lapan gelaran bukan sesuatu yang mudah. Jika anda mahukannya, anda perlukan bakat luar biasa serta ibu bapa dan jurulatih yang mendorong anda sejak berusia tiga tahun dan yang memikirkan anda sebagai sebuah projek. Saya bukan budak seperti itu.”

Federer dianggap sudah menghampiri penghujung karier selepas tersingkir pada separuh akhir Wimbledon di tangan Milos Raonic tahun lalu.

Namun kejayaannya di Terbuka Australia disusuli dengan kejuaraan Masters di Indian Wells dan Miami sebelum memutuskan tidak menyertai sebarang kejohanan gelanggang tanah liat.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 9:33am
d