arena

Lubuk emas!

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Walaupun sukan luncur air tidak popular seperti badminton, hoki dan bola sepak, ia sentiasa menyumbangkan pingat buat kontinjen negara setiap kali acara itu dipertandingkan di temasya Sukan SEA.

Sebut saja ahli keluarga Hanifah Yoong, pastinya warga sukan tempatan akan mengaitkan keluarga itu dengan sukan luncur air terutama Aaliyah yang dilabel ratu acara itu.

Mengisi kedudukan ke-16 dunia dalam ranking Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Antarabangsa (IWWF) meletakkan Aaliyah antara prospek utama dalam memastikan dua emas berjaya diraih kontinjen Malaysia pada saingan Sukan SEA kali ini.

Reputasi hebat Aaliyah di rantau Asia Tenggara sukar digugat peserta lain dan pastinya dia menjadi pilihan untuk mempertahankan emas acara tricks dan juara keseluruhan yang dimenangi di Singapura, dua tahun lalu.

Antara persiapan buat atlet berusia 14 tahun itu termasuk menjalani latihan enam minggu di Florida, Amerika Syarikat (AS), bagi meningkatkan prestasinya.

“Latihan itu baik kerana saya dilatih antara jurulatih terbaik dunia dan beliau banyak membantu meningkatkan prestasi saya.

“Saya juga berpeluang berlatih dengan peluncur terkemuka dan menimba pengalaman menerusi pengamatan persembahan,” katanya, semalam.

Aaliyah juga enggan terlampau memikirkan cabaran yang bakal diberikan peserta negara lain kerana beranggapan dia mampu mengatasi segala rintangan dihadapi.

“Saya hanya ingin beraksi dan melakukan yang terbaik kerana tahu keupayaan sendiri,” katanya.

Selain Aaliyah, acara berkenaan turut menampilkan pembabitan dua adik lelakinya Aiden dan Adam serta serta dua atlet lain - Syahir Nasir dan Cheah Hsu Ann.

Berdasarkan pencapaian temasya dua tahun lalu, skuad kendalian Hanifah itu berjaya menghadiahkan tujuh pingat dengan dua daripadanya emas menerusi Aaliyah sendiri.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 10:02am
d