arena

Skuad Kim Swee baham Garuda Muda

Oleh Aziman Rosdi di Bangkok

SKUAD bawah 22 tahun negara (B-22) membuktikan kemampuan untuk menjadi pencabar utama saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 apabila menewaskan Indonesia B-22 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, hari ini.

Tiga mata diraih itu mencerahkan peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir di China tahun depan namun mereka perlu berdepan pasukan tuan rumah Thailand, Jumaat ini dan Mongolia (Ahad).

Ramai pihak meragui kemampuan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini susulan beberapa masalah menimpa dalam mempersiapkan pasukan termasuk gagal mendapatkan khidmat enam tonggak utama kerana tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing.

Dengan latihan singkat selama lima hari sebelum tiba di Bangkok berbanding Indonesia yang sudah berkampung lebih seminggu, ia bukan masalah buat Malaysia yang mengganas pada babak pertama dengan ledakan tiga gol.

Penyerang Kedah Syafiq Ahmad membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 selepas bijak melambungkan bola hantaran Irfan Zakaria sebelum Muhammad Jafri Firdaus Chew menambah gol kedua m-19.

Skuad Garuda Muda dibimbing bekas jurulatih remaja Sepanyol dan bekas pemain Barcelona Luis Milla Aspas seperti tiada jawapan untuk mengekang asakan skuad negara apabila menyaksikan gawang mereka dibolosi menerusi tandukan N Thanabalan m-30.

Indonesia yang banyak mengasak pada babak kedua kemudian tertekan apabila pemain gantian Asnawi Mangkualam dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras ke atas Sean Eugene Selvaraj pada minit ke-68.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 7:19pm
d