arena

Enggan pandang mudah cabaran Piala Asia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun sudah layak secara merit ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, skuad lelaki negara sama sekali tidak memandang mudah cabaran Piala Asia di Dhaka, Bangladesh dari 12 hingga 22 Oktober ini.

Sebaliknya ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen menegaskan beliau tetap menuntut barisan pemainnya untuk meraih keputusan paling baik kerana kejohanan itu menawarkan mata bagi ranking dunia.

“Kita tetap ambil serius dalam apa juga kejohanan. Cuma di Piala Asia kali ini, tekanan agak berkurangan kerana kita sudah layak beraksi di Piala Dunia tahun depan menerusi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London bulan lalu.

“Bagi saya, Piala Asia tetap penting kerana menawarkan mata ranking,” katanya.

Jelas Stephen, Piala Asia juga antara kejohanan yang perlu diambil perhatian sebagai persiapan untuk tiga temasya utama tahun depan - Sukan Komanwel, Asia serta Piala Dunia.

“Mungkin kami membawa barisan pemain berbeza untuk ke Piala Asia kerana ia bukan kejohanan yang memerlukan kita untuk wajib menang bagi membolehkan layak ke Piala Dunia.

“Saya akan membuat keputusan pemilihan pemain apabila tiba masanya nanti.

“Untuk ketika ini fokus utama adalah memenangi emas Sukan SEA,” katanya.

Pasukan yang muncul juara Piala Asia secara automatik layak beraksi di Piala Dunia tahun depan.

Selain skuad negara, tujuh pasukan lain yang bakal beraksi adalah tuan rumah Bangladesh, India, Jepun, Korea Selatan, Oman, China dan Pakistan.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 5:25am
d