arena

Optimis lebih laju!

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Raja pecut Malaysia Khairul Hafiz Jantan menjanjikan catatan masa lebih baik untuk bergelar manusia terpantas Sukan SEA bulan depan.

Atlet berusia 19 tahun berkenaan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter kelmarin untuk memadamkan rekod 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan.

“Jurulatih ada beritahu saya mungkin mencatatkan masa lebih baik pada usia 19 tahun. Tapi saingan pasti lebih kompetitif pada Sukan SEA nanti.

“Saya sendiri bersemangat untuk mempamerkan larian lebih pantas kerana ini aksi di tempat sendiri dan bakal menjadi tumpuan penyokong tempatan,” menurutnya pada sidang media Kita Juara semalam.

Kejayaan melakar 20.90 saat kelmarin melaungkan amaran awal dengan pemegang rekod kebangsaan 100m itu menjadi calon utama untuk meraih emas berganda pada Sukan SEA nanti.

“Saya tidak melihatnya sebagai tekanan namun lebih kepada motivasi untuk mempamerkan larian lebih baik dalam setiap acara disenaraikan,” tambahnya.

Jelasnya, tiada sebarang perasaan gentar atau terlalu hormat kepada pencabar negara lain kerana sudah diberikan persiapan mencukupi untuk mencabar mereka.

Bagi 100m, Khairul dijangka mencabar juara bertahan dari Filipina Eric Cray manakala berdepan pencabar Thailand dan Vietnam dalam 200m.

Malah Khairul turut berpeluang meraih tiga emas Sukan SEA apabila berada dalam kuartet 4x100m negara yang turut membariskan Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy.

Skuad olahraga negara dijadual mengadakan kem latihan pusat di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Bangi bermula Ahad ini bagi membolehkan atlet memberikan fokus sepenuhnya terhadap Sukan SEA.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 10:50am
d