arena

Kejohanan terakhir Bolt

Oleh AFP

Monaco: Usain Bolt akan berlari acara 100m dan 4x100m pada kejohanan dunia di London bulan depan, kejohanan terakhirnya sebelum bersara, umum bintang pecut Jamaica itu semalam.

Bolt, pemenang lapan pingat emas Olimpik dan 11 emas kejohanan dunia, dijangka menamatkan karier gemilangnya dengan penuh bergaya pada kejohanan dari 4 hingga 13 Ogos itu.

“Sasaran saya adalah hanya untuk menang (di London). Saya hanya mahu bersara dengan nota kemenangan,” kata Bolt di Monaco menjelang kejohanan Liga Berlian, hari ini.

Pelari berusia 30 tahun itu mendedahkan dia tidak akan mempertahankan kejuaraan 200m dunia, bermakna dia tidak akan berdepan pelari Afrika Selatan, Wayde van Niekerk, atlet yang diramal Bolt akan mengambil alih sebagai bintang olahraga selepas ini.

“Saya fikir ia satu daripada perkara paling mengecewakan dalam karier saya sekarang,” ujar Bolt. “Dia hadir ketika ini dan saya tidak berpeluang bertanding menentangnya kerana saya fikir dia seorang daripada yang terbaik sekarang.”

Bolt berkata: “Saya tidak pernah takut, saya hidup untuk bertanding. Tapi bagi saya ia sudah terlambat sekarang, saya berada di penghujung karier. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku.”

Bolt akan berlari dalam 100m di Monaco, perlumbaan ketiganya musim ini selepas penampilan di Kingston dan Ostrava yang mana dia berharap dapat melakukan catatan bawah 10 saat.

“Saya berasa bagus, musim ini saya bermula perlahan. Saya terganggu selepas rakan saya Germaine (Mason) meninggal dunia,” kata Bolt, merujuk kepada kematian jaguh lompat tinggi Britain yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2008 dalam satu kemalangan motosikal di Jamaica, April lalu.

“Saya agak ketinggalan tapi saya berlatih dengan baik. Saya berasa lebih bagus berbanding beberapa hari lalu kerana saya bertemu doktor di Jerman, saya berlatih dengan baik jadi ia satu petanda bagus.”

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 10:28am
d