arena

Masih hebat

Oleh Reuters

Moscow: Selepas diharamkan menyertai kejohanan antarabangsa selama hampir 17 bulan gara-gara skandal doping Russia, atlet lompat tinggi Maria Lasitskene (gambar) dilihat mampu melakar rekod baru di Kejohanan Dunia bulan depan.

Maria memenangi emas edisi 2015 tetapi skandal doping yang menjejaskan aksi Russia di Beijing bermakna dia tidak akan membawa nama negaranya ketika mempertahankan gelaran di London nanti.

Maria, 24, adalah salah seorang daripada 74 atlet Russia yang kembali dibenarkan beraksi selaku ‘atlet bebas’ walaupun persekutuan olahraga negara mereka masih lagi digantung.

Status istimewa itu mencetuskan spekulasi berhubung semangat patriotik atlet terbabit hingga menimbulkan persoalan mengenai tahap kesetiaan masing-masing.

Semua yang dibebaskan itu perlu membuktikan kepada Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) bahawa suasana latihan mereka menepati peraturan berkaitan doping.

“Saya yakin bahawa perlu ada garis panduan yang ketat sebelum Maria dibenarkan kembali bertanding,” kata bekas juara dalam dewan Chaunte Lowe.

“Jika dia berjaya melepasi semua tahap serta peraturan, saya percaya dia boleh kembali bersaing.”

Maria berkata, dia tidak mendengar ada pihak yang tidak berpuas hati dengan penampilan semulanya itu walaupun beberapa rungutan masih diperkatakan di belakangnya.

Bekas juara Olimpik Remaja itu mendominasi acara berkenaan tahun ini dan tidak pernah tewas sepanjang 19 kejohanan - luar dan dalam dewan.

Di kejohanan Liga Berlian di Lausanne awal bulan ini, Maria mencatat lompatan terbaik dengan 2.06 meter, kurang tiga sentimeter daripada rekod dunia yang dipegang atlet Bulgaria Stefka Kostadinova sejak 1987.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 3:10am
d