arena

Tunggu giliran Chong Wei

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengharapkan rentetan kejayaan atlet negara berterusan dengan Datuk Lee Chong Wei (gambar) bergelar juara dunia bulan depan.

Malaysia meraikan kemunculan ratu terjun yang baru apabila Cheong Jun Hoong berjaya meraih emas dalam acara 10 meter platform Kejohanan Akuatik Dunia di Hungary kelmarin.

Ia menyusul selepas kejayaan Mohd Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) muncul juara dunia di Kejohanan Olahraga Para di London.

Malah Azizulhasni Awang bergelar juara keirin dunia pada April lalu.

“Malaysia melahirkan empat juara dunia dalam tempoh empat bulan. Esok (hari ini) saya tidak fikir Mohd Ridzuan Puzi akan berdepan masalah mempertahankan gelaran juara dunia di London (dalam acara 100m T36). Saya tidak meragui prestasinya.

“Tekanan kepada Chong Wei, dia pemain terhebat Malaysia namun masih belum menang Kejohanan Dunia. Bagaimanapun pencapaian Azizulhasni dan Jun Hoong meringankan beban dia.

“Saya ada bertemunya dua hari lalu, bercerita mengenai kehebatan Roger Federer yang berusia 35 tahun namun masih mampu bergelar juara di Australia dan Wimbledon. Umur bukan faktor (penghalang) penghalang. Saya berharap dia akan melakukannya kali ini,” jelas Khairy.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan Jun Hoong, Khairy menjelaskan ia rangsangan hebat buat kontinjen negara bagi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur apabila buat kali pertama mengatasi cabaran atlet China.

“Tembok China sudah sedikit dirobohkan. Saya harap ia bukan bersifat sementara. Kita sudah buktikan cengkaman China terhadap sukan terjun boleh dicabar,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 4:02am
d