arena

Tugas bermula

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Projek Fasa 1 Bandar Sukan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Sports City) akan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seperti dijadualkan, hari ini.

Venue utama yang merangkumi Stadium Nasional Bukit Jalil, Axiata Arena, Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Hoki Nasional dijalankan kontraktor utama Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

” “Ya, semua mengikut jadual. Ia penyerahan secara pentadbiran saja,” jelas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam.

Malah projek berkenan turut terpilih sebagai salah satu daripada 17 yang disenarai pendek bagi Festival Seni Bina Dunia 2017, dijadualkan di Jerman, November nanti.

“Ia pengiktirafan besar apabila terpilih daripada ratusan penyertaan yang dihantar. Kita perlu menjaganya selepas berakhirnya KL2017 dengan projek Fasa Dua akan diteruskan selepas itu,” katanya.

Terdahulu beliau hadir melancarkan Koleksi Terhad KL2017 di antara PETRONAS dan Telekom Malaysia Berhad (TM), membabitkan barangan seperti jersi, anak patung, botol air, payung dan sebagainya yang bakal dijual di lebih 300 stesen PETRONAS di seluruh negara.

PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) turut memperkenalkan Kad Mesra PETRONAS KL2017 dengan Touch ‘n Go dan PETRONAS Gift Card edisi eksklusif.

Sukan SEA edisi ke-29 dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos manakala Sukan Para ASEAN kesembilan, 17 hingga 23 September.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 4:06am
d