arena

Skuad wanita pamer peningkatan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali skuad bola sepak wanita negara, Mohd Asyraaf Fong Abdullah mengakui gembira dengan perkembangan positif anak buahnya menjelang cabaran Sukan SEA di Kuala Lumpur, bulan depan.

Walaupun Thailand dan Vietnam bakal muncul sebagai pilihan pada temasya itu nanti, beliau percaya dengan komitmen dan kesungguhan pemain mereka mampu membuat kejutan di tempat sendiri.

“Pemain semakin menunjukkan peningkatan dalam permainan mereka. Rata-rata pemain sudah tahu apa yang perlu dilakukan ketika pasukan lawan mengawal bola berbanding sebelum ini apabila mereka mudah hilang kawalan.

“Malah, tahap kecergasan pemain juga meningkat dan saya percaya jika perkembangan baik ini kekal hingga Sukan SEA nanti kita mampu melakukan sesuatu,” katanya kepada Arena Metro.

Pada edisi Sukan SEA kali ini, semua negara akan bermain menggunakan format liga yang menyaksikan lima negara bakal berentap untuk mengejar emas.

Selain Malaysia tuan rumah, empat lagi pasukan membabitkan Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina.

“Berdasarkan prestasi semasa, kami amat berharap skuad wanita mampu meraih pingat sekurang-kurangnya gangsa.

“Sebanyak lima negara termasuk Malaysia akan bermain secara round robin dan pastinya peluang ini akan digunakan sebaik-baiknya,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 4:09am
d