arena

Guerra tak dabik dada

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Penyerang import Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Gabriel Guerra enggan dilabel sebagai penyerang berbahaya pasukan itu sebaliknya menegaskan kejayaan meraih kemenangan hasil kerjasama sepasukan.

Jelasnya, kesebelasan pemain yang diturunkan dalam aksi Liga Super mahupun Piala Malaysia mampu mencipta jaringan dan skuad Harimau Selatan tidak terlalu bergantung kepada dirinya seorang.

Guerra juga mengakui betapa aksi yang berbaki lima perlawanan tampak begitu getir ketika semua pasukan mahu menamatkan saingan liga dalam kedudukan terbaik dan Johor DT perlu berhati-hati dengan kebangkitan pasukan lawan terutama Perak yang berkunjung ke Stadium Larkin, malam esok.

“Bukan mudah untuk menang 6-1 menewaskan T-Team, Sabtu lalu dan kami akan meneruskan momentum kemenangan dalam usaha memburu impian untuk mengekalkan kejuaraan liga buat kali keempat.

“Walaupun secara matematik, kami hanya perlu menang dua lagi perlawanan untuk mencipta sejarah muncul juara liga empat musim berturut-turut tapi saya dan rakan sepasukan enggan terlalu memikirkan perkiraan itu sebaliknya mahu teruskan aksi hingga liga berakhir.

“Jika dinilai, kami berada di landasan terbaik tapi tidak boleh leka dan perlu konsisten sepanjang lima perlawanan itu dan saya optimis hasil kerja keras tidak mustahil kami mampu meraih kejayaan,” katanya.

Guerra yang kini meledak sembilan gol dalam saingan liga tetap berazam untuk membantu Johor DT bagi meraih kemenangan dan berharap corak permainan konsisten dalam lima baki perlawanan liga mampu diterjemahkan dengan keputusan positif.

“Aksi menentang Perak sememangnya mencabar dan kami akan turun habis-habisan untuk mencipta kemenangan di laman sendiri,” ujar Guerra.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 9:59am
d