arena

Tetap optimis

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun tidak dapat melakukan persiapan rapi menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), atlet pelayaran negara Khairulnizam Mohd Afendy (kanan) tetap optimis dan yakin mampu menghadirkan kilauan emas.

Jelasnya, ketika ini dia serta rakan lain sedang melakukan persiapan fasa akhir iaitu lebih memberi fokus kepada latihan di air.

“Persiapan saya pada Sukan SEA kali ini agak terhad selepas berehat hampir lima bulan kerana kecederaan lutut.

“Kecederaan ini memerlukan pembedahan. Jadi, saya hanya memulakan latihan pada pertengahan Mei hingga sekarang.

“Sukan SEA adalah kejohanan pertama saya tahun ini,” ujarnya.

Bagi Khairulnizam, sejujurnya dia tidak dapat mengetahui keupayaan lawan selepas tidak menyertai sebarang kejohanan sepanjang tahun ini.

“Tapi, saya mengikut perkembangan mereka supaya saya dapat meletakkan penanda aras buat diri sendiri.

“Sasaran untuk edisi kali ini adalah untuk cuba sebaik mungkin dalam setiap saingan.

“Jika semua berjalan dengan baik pingat emas pasti berada dalam genggaman,” katanya.

Khairulnizam akan menyertai acara berpasukan laser standard bersama Azri Azman dan Muhd Farhan Hamid serta acara individu laser standard.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 10:46am
d