arena

Honda hulur tajaan

Oleh Garret Dawum

Petaling Jaya: Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTBGP) 2017 menjadi antara platform bagi Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) mempromosi model baru kenderaan jenamanya.

Ketua Perhubungan Awam Honda Malaysia Iris Leong berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada kejohanan itu sejak tiga edisi sebelum ini.

“Kali ini, kami terus menunjukkan komitmen dan komited untuk menjadi penaja kepada program sihat Harian Metro itu kerana penganjuran sebelum ini sangat memberangsangkan.

“Pembangunan sukan basikal lasak di Malaysia juga membuatkan kami yakin dengan keupayaannya menarik minat orang ramai menyaksikan kejohanan itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Iris, kehidupan aktif yang ditunjukkan menerusi kejohanan itu memberi peluang kepada mereka mempamerkan Honda Jazz dan CRV yang sesuai sebagai kenderaan bagi yang minat bersukan.

“Penganjuran HMMTBGP memberi inspirasi kepada syarikat kami mempromosi kereta jenama Honda kepada umum.

“Kami akan membuka gerai pameran sepanjang perlumbaan untuk menampilkan Honda Jazz Hybrid yang terbaru,” katanya.

HMMTBGP 2017 bermula 29 Julai ini akan diadakan di Bukit Merah Laketown Resort di Perak.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 12:00pm
d