arena

Rintihan Penasihat KAFA

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PENASIHAT Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pasukan The Red Warrior (TRW) seperti dipaksa turun ke Liga Perdana apabila menerima layanan tidak wajar daripada pihak berkepentingan.

Malah katanya, kekalahan teruk kepada Kedah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi, juga sudah diduga susulan tekanan dihadapi mereka.

"Kita sudah menduga kekalahan ini dan banyak pihak mahukan kekalahan itu.

"Dalam keadaan KAFA tidak dapat membeli pemain import dan mata kita juga dipotong, Kelantan ibarat bermain dengan kaki, tangan diikat.

"Itu faktanya. Kelantan tak diberi layanan sewajarnya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Himpunan Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Parlimen Ketereh di Dewan Kolej Matrikulasi Kelantan, Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh bagaimanapun memuji pemain TRW yang sudah melakukan terbaik walaupun kalah teruk.

Dalam perlawanan malam tadi, Kelantan kalah 0-5 ke atas Kedah.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 5:30pm
d