arena

'Kecewa tapi apa boleh buat'

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Walaupun tidak mengkritik mutu pengadilan secara terus, nada pengendali Perak Mehmet Durakovic jelas menggambarkan rasa tidak puas hati dengan gol kemenangan jaringan Mohammed Ghaddar untuk Johor Darul Ta'zim (Johor DT) kerana menganggapnya sebagai ofsaid.

Durakovic yang dilihat tenang menganggap barisan pemainnya sudah memberikan aksi terbaik untuk menyaingi kehebatan Johor DT sehingga memaksa pasukan dibimbing Ulisses Morais itu bekerja keras sebelum menang 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, kelmarin.

“Memang jelas Ghaddar berada di posisi ofsaid tapi gol itu disahkan. Saya amat kecewa tapi ribuan penyokong yang berada di stadium melihat sendiri kedudukan pemain itu.

“Apa yang boleh saya katakan? Keputusan pengadil muktamad dan saya enggan ulas lanjut tapi saya sendiri lihat Ghaddar memang ofsaid,” katanya.

Apapun, Durakovic tetap memuji kesungguhan barisan pemainnya yang memaksa tuan rumah bekerja keras dengan nasib jelas tidak memihak Perak selepas kesilapan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim memberi ruang buat Ghaddar menjaringkan gol sekali gus merampas peluang Perak untuk pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.

Beliau juga mempertahankan tindakannya memasukkan tiga pemain simpanan secara serentak ketika di hujung aksi bagi memburu gol penyamaan.

“Saya memasukkan tiga pemain simpanan itu sekali gus bagi menambah kekuatan serangan dengan harapan mereka mampu memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan tapi hasrat itu tidak menjadi,” kata Durakovic.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 9:19am
d