arena

Gartung lega Semut Merah kian berbisa

Kuala Lumpur: Kemenangan 2-1 ke atas T-Team meneruskan kebangkitan dramatik PKNS FC sejak kelab berpangkalan di Kelana Jaya itu dibimbing pengendali baru Sven Gartung awal bulan ini.

Ternyata sentuhan bekas penolong jurulatih kelab FC Wil 1900 dalam Liga Switzerland itu menjadi apabila mereka berjaya merakam enam mata menerusi dua aksi liga termasuk kemenangan terbaru di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Terdahulu, Semut Merah mengalahkan Sarawak 1–0 di Kuching pada 22 Julai lalu.

Menurut Gartung, anak didiknya semakin menunjukkan peningkatan dan yakin pasukannya mampu kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

“Sebelum saya tiba, pasukan ini agak bergelut serta berada di zon penyingkiran apabila sekadar menduduki kelompok bawahan liga.

“Kemajuan dicapai pemain amat baik walaupun tempoh saya bersama mereka singkat tapi kami berjaya mewujudkan persefahaman dengan perubahan diinginkan.

“Mencatat dua kemenangan liga sesuatu yang baik dan saya harap prestasi kami berterusan,” katanya.

Dalam aksi ke-18 liga itu, tuan rumah menghasilkan gol melalui Mohd Aliff Haikal pada minit ke-34 dan Mohd Nizam Abu Bakar (m-41), manakala Mohd Asrol Ibrahim menjaringkan gol tunggal pelawat (m-65).

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 9:21am
d