arena

Pemain gagal ikut arahan: Zahasmi

Kota Bharu: Pengendali Kelantan Zahasmi Ismail langsung tidak pernah membayangkan pasukannya kecundang besar 0-5 di tangan Kedah walaupun misi awal mereka adalah memburu sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan.

Namun, gara-gara memberi ruang terlalu besar kepada pemain lawan terutama import mereka seperti Ken Ilso, Sandro Da Silva dan Liridon Krisqni untuk bergerak bebas, Kelantan dihukum dengan kekalahan paling besar setakat ini.

Selain gagal mematuhi arahan, kesilapan barisan pertahanan ketika mengawal pergerakan Liridon, Ilso, Sandro dan Baddrol Bakhtiar, membawa padah sekali gus memberikan peluang buat Kedah untuk mencetak banyak gol.

Bahkan, gol awal Kedah menerusi Ariff Farhan pada minit ke-7 turut menjadi ‘pemusnah’ harapan Kelantan untuk menjarakkan diri daripada kelompok dua pasukan terbawah Liga Super.

“Faktor keletihan mungkin punca kekalahan itu namun bukan alasan utama sebaliknya kekurangan pemain berkaliber menyebabkan kami gagal mengimbangi lawan.

“Untuk perbaiki pasukan dalam tempoh terdekat ini, mungkin tidak sempat namun kami akan cuba sebaik mungkin, bermula dengan saingan Piala Malaysia bertemu UiTM FC, Sabtu ini.

“Kekalahan itu seharusnya menjadi pengajaran buat semua pemain dan mereka perlu bangkit semula,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 9:23am
d