arena

Jaguh dunia pelaris tiket

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Kehadiran pemenang pingat Olimpik dan juara dunia dari negara bertanding mendorong tiket Sukan SEA ke-29 semakin laris terjual.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASOC Datuk Seri Zolkples Embong, tiket yang menjadi rebutan itu membabitkan sukan dengan kehadiran atlet bertaraf dunia.

“Contohnya bagi sukan renang, tiket bagi acara akhir kebanyakannya sudah habis apabila pemenang emas Olimpik Rio dari Singapura Joseph Schooling mengesahkan akan bertanding.

“Kehadiran penembak emas Olimpik Rio dari Vietnam Hoang Xuan Vinh selain skuad badminton Thailand yang menghantar barisan terkuat walaupun Kejohanan Dunia berlangsung pada masa hampir sama membantu dalam melariskan tiket acara berkenaan,” jelas Zolkples.

Malah, Malaysia sendiri turut membariskan jaguh dunia, diketuai Azizuhasni Awang dalam acara trek berbasikal, juara dunia terjun 10 meter platform Cheong Jun Hoong selain dua jaguh paralimpik Abdul Latif Romly dan Mohd Ziyad Zolkefli.

Justeru, menurut Zolkples, kehadiran juara dunia negara itu membantu dalam menjadi faktor penarik untuk penonton melihat sendiri atlet berkenaan beraksi.

“Malah, menerusi perbincangan dengan Datuk Hamidin Mohd Amin (Setiausaha Agung FAM), kita akan menjual tiket empat kali bagi empat perlawanan sehari bagi acara futsal berbanding satu tiket untuk empat perlawanan. Ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,” tambahnya.

Zolkples bagaimanapun menegaskan tujuan utama penjualan tiket bukan untuk menambah pendapatan namun lebih kepada usaha mengawal penonton.

Mengulas mengenai venue, beliau berkata semua gelanggang terutama di MITEC dan KLCC diharapkan mampu disiapkan menjelang 1 Ogos depan dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan melawatnya disusuli Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Ogos.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 9:30am
d