arena

Tekad roboh dominasi lawan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Walaupun sering dibayangi kejaguhan Filipina dan Thailand pada setiap temasya Sukan SEA, skuad ragbi tujuh sebelah negara tampak yakin mampu merobohkan keegoan dua musuh tradisi itu apabila saingan dwitahunan itu berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan.

Menurut pengendali pasukan Saizul Hafifi Md Noor (gambar), barisan pemainnya kini berada pada prestasi terbaik dan percaya kejutan mampu berlaku di halaman sendiri itu nanti.

Katanya, latihan pusat dua minggu di Auckland, New Zealand, Mei lalu banyak membawa perubahan positif kepada persembahan anak buahnya itu.

“Kami tewas di tangan Filipina pada final Sukan SEA dua tahun lalu, namun kali ini saya yakin boleh melakukan lebih baik dengan cuba meraih emas.

“Berikutan persiapan rapi dibuat sejak setahun lalu dan ditambah kelebihan beraksi di tempat sendiri, kita boleh kejutkan mereka (Filipina),” katanya.

Pengurus pasukan Amir Amri Mohamad pula berkata, pemain negara menunjukkan semangat membanggakan dan berharap dapat dikekalkan hingga Sukan SEA membuka gelanggangnya, 19 Ogos depan.

“Pasukan ini sudah bersama-sama dalam tempoh yang lama dan itu kelebihan utama untuk menggalas cabaran negara.

“Mereka begitu positif dapat merampas pingat emas kali ini. Apapun kita tak boleh terlalu yakin kerana ianya boleh memakan diri, sebaliknya pemain kena fokus dan kekalkan semangat yang ada hingga acara itu bermula,” kata Amir.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 9:39am
d