arena

Debaran makin terasa

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Bukit Merah: Bahang kehangatan saingan Siri Pertama Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2017 semakin terasa dengan pihak penganjur sudah bersedia menanti kehadiran 1,200 peserta di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), di sini esok.

Pengarah Kejohanan HMMTB merangkap Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro Husain Jahit berkata, persiapan penganjuran berjalan lancar merangkumi pelbagai aspek dan penganjur sudah bersedia menyambut peserta yang akan tiba hari ini untuk mengambil beg cenderahati bermula jam 3 petang hingga 10 malam.

Menurutnya, kesemua peserta yang sudah mengesahkan penyertaan diminta dan dinasihatkan hadir di Dewan Sepat, Bukit Merak Laketown Resort bagi melancarkan urusan terutama pendaftaran yang akan bermula jam 6 pagi esok.

Hussain berkata, pada hari saingan proses pendaftaran peserta dijangka mengambil masa hingga jam 7.30 pagi sebelum taklimat keselamatan diberikan dan disusuli dengan acara pelepasan oleh tetamu kehormat.

Menurutnya, majlis pelepasan pelumba bermula jam 8 pagi dan akan disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Nazlee Khalifah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat dan Pegawai Daerah Kerian Mohd Sabli Bakri.

“Saingan disasarkan mengambil masa antara tiga hingga empat jam dengan peserta paling awal tiba di garisan penamat dijangka pada jam 11.30 pagi,” katanya.

Menurutnya, majlis penyampaian hadiah akan bermula jam 12.30 tengah hari dan lebih menarik, peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah membabitkan barangan basikal dan elektrik.

Katanya, acara secara keseluruhannya dijangka berakhir jam 1.30 tengah hari.

“Sedikit pesanan penganjur, diharap semua peserta mengutamakan keselamatan diri dan pasukan serta diingatkan keadaan cuaca agak panas selain trek juga berdebu.

“Harap semua peserta ambil berat faktor keselamatan termasuk minum air mencukupi bagi kekal hidrat sepanjang perlumbaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 9:55am
d