arena

Jin Wei sah boleh bermain

Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur

"Ya. Goh Jin Wei akan beraksi di Sukan SEA," kata Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost.

Keputusan ujian imbasan Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) yang dilakukan terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara itu memberi maklum balas positif.

Ia jelas menghadirkan perkhabaran gembira buat kontinjen badminton negara yang kini memasuki fasa terakhir persediaan untuk menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ketika Thailand menyenaraikan barisan pemain terbaik mereka.

"Selepas menjalani dua ujian MRI, kecederaan Jin Wei didapati tidak serius.

"Saya jangka dalam tempoh seminggu selepas menjalani proses pemulihan dia akan OK dan bersedia untuk kembali berlatih seperti biasa," kata Frost yang ditemui ketika sesi perjumpaan antara pemain dan Ketua Kontinjen Sukan SEA, Datuk Marina Chin di Akademi Badminton Malaysia, semalam.

Perkhabaran itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung penyertaan bekas juara remaja dunia pada temasya dwitahunan yang akan bermula 19 Ogos depan.

Bagaimanapun Frost menegaskan, beliau tidak dapat memberi jaminan apa yang akan berlaku dalam tempoh tiga minggu akan datang dan sehubungan itu menggesa setiap pemain supaya lebih berhati-hati.

Terdahulu, Jin Wei, 17, mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi pada pertemuan menentang Indonesia di separuh akhir acara berpasukan campuran Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, Isnin lalu.

Sementara itu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap Frost dan jurulatih lain tidak menjadikan episod berlaku kepada Jin Wei sebagai isu besar.

Justeru beliau berharap pasukan badminton akan bersedia untuk menghadapi Sukan SEA.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 4:07pm
d