arena

Khairul makin bersemangat

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kejayaan Khairul Hafiz Jantan (gambar) bersama kuartet negara melakarkan rekod baru kebangsaan dalam acara 4x100 meter membuktikan dia kini berada di landasan tepat untuk meraih emas acara pecut temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Dia mengakui semangatnya untuk memburu emas di Sukan SEA semakin membara selepas bergelar pemegang tiga rekod kebangsaan acara 100m, 200m dan 4x100m.

Kejayaan cemerlang pelari berusia 19 tahun itu tidak pernah dilakukan mana-mana atlet.

“Alhamdulillah, kami berjaya (memecahkan rekod kebangsaan), tapi kejayaan itu kejayaan kami sebagai satu pasukan.

“Terima kasih kepada jurulatih, Mohd Poad Md Kassim yang menjadi tulang belakang kejayaan ini.

“Kejayaan dalam acara berganti-ganti itu membuatkan saya lebih bersemangat.

“Bergelar pemegang rekod kebangsaan saja tidak cukup kerana jika boleh saya mahu menghadiahkan emas kepada negara di Sukan SEA nanti.

“Saya akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Kelmarin Khairul bersama Badrul Hisyam Abdul Manap, Haikal Hanafi dan Jonathan Nyepa melakarkan rekod baru kebangsaan acara 4x100m dengan catatan 39.62 saat di Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam.

Mereka memadamkan rekod lama 39.67s yang dilakukan Jonathan, Mohd Izzudin Yahaya, Harith Amar Sobri dan Nixson Kennedy di Sukan SEA 2015 Singapura.

Lebih membanggakan, ia dilakukan dalam tempoh dua minggu selepas Khairul mencatat rekod baru 200m dengan catatan 20.92s bagi memadam rekod berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan.

Kejayaan itu memberi isyarat jelas bahawa dia mampu menggegarkan temasya dwitahunan yang akan membuka tirai dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 4:54am
d