arena

Bola Shebby: Pentingnya siaran langsung di televisyen

Oleh Serbegeth Singh

Baru-baru ini ada pasukan Liga Super yang enggan perlawanan membabitkan pasukan mereka disiarkan secara langsung di televisyen.

Pasukan ini berpendapat jualan tiket di stadium akan terjejas kerana siaran langsung itu. Sekali lagi bola sepak berfikiran cetek atau sempit kerana tidak menyedari betapa pentingnya siaran langsung di televisyen.

Penonton yang hadir di stadium mungkin membantu dari segi memeriahkan suasana serta wang tunai diterima melalui penjualan tiket dapat menyelesaikan beberapa kos seperti sewa serta elaun tertentu. Begitu juga pembayaran kos makanan serta penyewaan bas untuk pasukan mungkin juga selesai.

Tetapi pentadbiran pasukan tidak sedar betapa pentingnya pendedahan yang diberikan syarikat televisyen itu. Dengan setiap siaran langsung di televisyen maka pasukan mendapat pendedahan yang sepatutnya boleh digunakan untuk mengutip dana bagi membiayai pasukan. Setiap penampilan secara langsung di televisyen memberi ‘mileage’ kepada penaja pasukan.

Penaja ini tidak mengharapkan 10,000 atau 20,000 penonton yang hadir di stadium, malah ingin menarik perhatian jutaan rakyat menonton siaran langsung itu. Begitu juga dengan sebaran klip video di laman sosial secara halal atau haram. Di mana jua platform yang digunakan maka lebih banyak mata memandang.

Ini pula membuka ruang untuk pasukan menjadi kreatif dalam memasarkan ruang penajaan serta penaja sedia ada. Pasukan tidak hanya mengharapkan imbuhan dari syarikat televisyen tetapi boleh memasarkan penampilan ini kepada penaja. Mengapa tidak meletak klausa dalam perjanjian setiap penampilan siaran langsung maka penaja menambahkan peratusan penajaan.

Setiap pasukan harus lebih kreatif dalam pemikiran dengan visi untuk mendapat perhatian global bagi penaja pasukan mahupun persatuan.

Lihat saja bagaimana Liga Perdana Inggeris (EPL) menayangkan hampir semua perlawanan pada penghujung minggu. Walaupun EPL tidak hebat sehingga England menjuarai Piala Dunia tetapi daripada menayangkan dua perlawanan secara langsung hampir 20 tahun dulu, mereka kini menayangkan hampir 10 aksi.

Lihat saja bagaimana Bundesliga serta La Liga sudah mengorak langkah untuk membawa produk mereka ke merata dunia. Perlawanan La Liga secara langsung juga sudah kemas dan kini jadual bermula perlawanan untuk menentukan siaran secara langsung boleh disiar ke segala sudut dunia. Sudah tentunya skala Liga Liga itu lebih besar serta lumayan tetapi yang penting adalah konsep diamalkan.

Kita juga lihat bagaimana pasukan Serie A walaupun beraksi di laman sendiri di depan penonton yang kurang, tetap memahami kepentingan komersial Liga Itali itu.

Seharusnya, setiap pasukan Liga Super berebut untuk tampil menerusi siaran langsung akan tetapi apa yang berlaku sebaliknya - sesuatu amat mengecewakan. Konsep pemasaran sudah giat berubah dengan produk dikirim ke rumah kita tetapi seperti biasa bola sepak di Malaysia jauh daripada evolusi ini.

Kita juga harus berasa bangga apabila pasukan negara dipilih kerap kali untuk tampil di televisyen kerana ini pengiktirafan tahap persembahan.

Pada akhirnya, tahap persembahan saja yang bermakna dalam sukan bola sepak.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 4:57am
d