arena

Usah tunduk desakan majikan

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam Mohd Sadek Mustafa menegaskan pemain bola sepak tidak boleh tunduk kepada desakan majikan sebaliknya perlu diberikan hak membuat keputusan sendiri ketika membabitkan skuad negara.

Beliau berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memikirkan jalan terbaik dalam mengatasi isu pemain gagal mendapat pelepasan pasukan masing-masing seperti yang menimpa skuad bawah 22 tahun (B-22) ketika menyertai saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok minggu lalu.

“Saya fikir masalah pemain tidak mendapat pelepasan ini bukan baru dan tidak mustahil berlaku lagi selepas ini. Bukan saja untuk skuad remaja malah pasukan senior juga bermasalah mendapatkan pemain terutama jika kejohanan itu bukan di bawah kalendar FIFA.

“Memang pemain terikat dengan kontrak, tapi mereka harus diberikan hak untuk bersuara, membuat keputusan sendiri demi karier masing-masing.

“Mungkin FAM dan PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) boleh berbincang untuk mencari jalan dalam memastikan hak pemain ini terbela.

“Saya percaya dalam kes enam pemain yang tidak melaporkan diri ke kem latihan skuad B-22 tahun baru-baru ini bukan kerana mereka tidak mahu tapi dihalang.

“Mereka ini masih muda, sepatutnya diberikan ruang untuk membuat pilihan,” kata Sadek kepada Arena Metro.

Jurulatih skuad B-22 negara Datuk Ong Kim Swee berdepan masalah mempersiapkan pasukan untuk kempen kelayakan di Bangkok apabila enam pemain Safawi Rasid dan Haziq Nadzli dari Johor Darul Ta’zim (Johor Darul Ta’zim), S Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) serta Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang) tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing.

Difahamkan masalah sama menimpa skuad B-22 Australia ke kejohanan kelayakan itu apabila tiga pemain Adelaide United tidak mendapat pelepasan.

Bagaimanapun pemain berkenaan mempertahankan hak mereka dan berjaya mewakili pasukan negara itu hasil bantuan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Australia.

Ketika ditanya mengenai keperluan untuk Kim Swee memanggil semula enam pemain berkenaan untuk memperkuatkan pasukan bagi misi Sukan SEA bulan depan, Sadek berkata, prestasi semasa setiap pemain perlu diambil kira.

“Kim Swee sudah diberikan tugasan yang cukup besar pada Sukan SEA kali ini, jadi beliau perlu memilih pemain terbaik.

“Jika enam pemain itu boleh memperkuatkan pasukan mengapa tidak, tapi tidak perlu ada desakan mana-mana pihak dalam pemilihan pemain,” katanya.

Biarpun bermasalah, skuad B-22 negara berjaya muncul juara Kumpulan H pusingan kelayakan untuk menempah tiket ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 5:11am
d