arena

Ken Ilso sandaran Lang Merah

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Ketajaman penyerang import Ken Ilso Larsen (gambar tengah) bakal menjadi sandaran utama Kedah ketika menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Dua gol ketika bertemu Kelantan dalam Liga Super tempoh hari dan satu gol sewaktu menewaskan Pulau Pinang pada 22 Julai lalu memberi isyarat dia bakal kembali menggegar di Melaka.

Menurut Ken Ilso, dia mahu meneruskan momentum persembahan seperti dua perlawanan terdahulu bagi membantu kemenangan Lang Merah.

“Dua gol yang saya hasilkan ketika menentang Kelantan dan satu sewaktu bertemu Pulau Pinang menjadi pembakar semangat untuk memburu tiga mata ketika menentang Melaka kali ini.

“Kita perlukan tiga mata untuk terus mengukuhkan kedudukan Kumpulan C selepas gagal mengutip mata di Kota Bharu,” katanya.

Mengenai jadual padat, dia mengakui tidak dapat lari daripada aspek keletihan tetapi tetap mahu teruskan fokus dan berusaha meningkatkan ketajaman memburu gol.

“Ini cabaran dan tanggungjawab yang harus dipikul sebagai penjaring utama dan setiap kali beraksi, saya harus buktikan kemampuan yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 5:16am
d