arena

Bimbang tak lepas

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pengurus skuad bawah 22 tahun (B-22) Datuk Wira Yusoff Mahadi mengakui tiada jaminan untuk mereka mendapat pelepasan semua pemain bagi menghadapi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur bulan depan.

Bagaimanapun beliau mengharapkan kejayaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok minggu lalu dapat membuka mata semua pihak untuk membantu persediaan pasukan ke Sukan SEA kali ini.

“Kita masih belum tahu kedudukan pemain untuk bersama pasukan ke Sukan SEA nanti tapi dengan penangguhan perlawanan Liga Malaysia pada 9 Ogos sehingga selesai Sukan SEA, saya fikir ia akan memudahkan semua pasukan untuk melepaskan pemain.

“Kita tak tahu perancangan pasukan, mungkin ada yang bimbang untuk melepaskan pemain kerana risiko kecederaan lantaran selepas Sukan SEA mereka ada perlawanan penting.

“Tapi kita minta jasa baik mereka untuk terus berikan kerjasama demi kejayaan pasukan muda negara di Sukan SEA,” katanya ketika kepada Arena Metro semalam.

Kim Swee sebelum ini berdepan masalah mempersiapkan pasukan apabila hanya berlatih lima hari sebelum ke Bangkok bagi aksi kelayakan namun anak buahnya masih mampu melakar kejutan muncul juara Kumpulan H untuk mara ke pusingan akhir di China tahun depan.

Enam pemain utama Safawi Rasid dan Haziq Nadzli dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT), S Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang) tidak bersama di pusingan kelayakan itu kerana gagal mendapat pelepasan pasukan masing-masing.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) percaya pemain berkenaan masih berminat untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA.

“Saya percaya mereka masih berminat dan terpulang kepada Kim Swee untuk memilih pemain terbaik ke Sukan SEA nanti,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 3:30am
d