arena

'Jaga-jaga semua'

Oleh Reuters

Budapest: Pemandu Australia, Daniel Ricciardo (gambar) mengingatkan pesaing Formula Satu yang lain bahawa mereka sama sekali tidak boleh mengetepikan Red Bull selepas mencatat masa terpantas pada sesi ujian menjelang Grand Prix Hungary, semalam.

Menduduki tangga keempat kategori pelumba dan ketinggalan 60 mata di belakang pemandu Ferrari Sebastian Vettel, Ricciardo yang dilahirkan di Perth merakam satu minit 18.455 saat di sebelah petang.

Ricciardo turut mendahului sesi pagi dengan 1:18.486s dan kedua-dua catatannya itu jauh lebih baik berbanding rekod sepusingan di perlumbaan sebenar yang dipegang Michael Schumacher dengan catatan 1:19.071s pada 2004.

“Kami melakukan beberapa perubahan ke atas jentera dan ia berjalan dengan baik,” kata Ricciardo yang pernah menang di Hungary pada 2014.

“Saya merasakan bahawa kami sudah menyelesaikan beberapa masalah sebelum ini dan kami berada di landasan tepat.

“Ferrari bangkit di sebelah petang tetapi saya masih lagi berupaya mendahului sesi latihan. Saya yakin pasukan lain akan cuba melakukan yang lebih baik esok tetapi begitu juga kami.”

Vettel mencatat masa kedua terpantas dan ketinggalan 0.183s di belakang pendahulu.

Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton yang ketinggalan satu mata di belakang Vettel di senarai pelumba dan memburu gelaran keenam di Hungary, menduduki tempat ketiga serta kelima di sesi pagi dan petang.

“Saingan antara Ferrari, Red Bull dan kami amat sengit. Justeru, hujung minggu ini pasti seronok,” kata Hamilton yang masih lagi berpeluang mencatat rekod memulakan perlumbaan di petak utama sebanyak 68 kali.

“Kami masih perlu mencari keserasian bersama jentera dan saya yakin kami akan berjaya.”

Pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen yang menduduki tangga kedua di sesi pagi, tercicir ke tangga keempat di belakang Valterri Bottas di sesi petang.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 3:52am
d