arena

Dominasi Ferrari

Oleh AFP

Budapest: Sebastian Vettel mengukuhkan cengkamannya sebagai pendahulu kejuaraan pemandu dunia kepada 14 mata semalam apabila dia dan Kimi Raikkonen membuktikan dominasi Ferrari dengan penamat satu-dua pada Grand Prix Hungary.

Dalam perlumbaan ke-50 bersama Ferrari, juara empat kali dari Jerman itu menguasai perlumbaan dari petak utama dalam cuaca panas berbahang bagi mencatat kemenangan pertamanya dalam lima perlumbaan sejak Grand Prix Monaco.

Pencabar utama kejuaraan dunia Lewis Hamilton dari Mercedes berakhir di tangga keempat, selepas menyerahkan penamat podium kepada rakan sepasukannya Valtteri Bottas pada pusingan terakhir berikutan perubahan saat akhir bagi membolehkan pemandu Britain itu mengejar dua jentera Ferrari.

Pemandu Belanda, Max Verstappan berakhir di tangga keempat buat Red Bull sekalipun mengalami pelanggaran pada pusingan pembukaan bersama rakan sepasukan Daniel Ricciardo yang menyaksikan pemandu Australia itu terkeluar lebih awal.

Juara dua kali dari Sepanyol, Fernando Alonso menduduki tangga keenam dan mencatat masa sepusingan terpantas perlumbaan buat McLaren-Honda selepas pemanduan menakjubkan.

Vettel, yang bermula dengan hanya satu mata di depan Hamilton, menjarakkan kedudukan kepada 13 mata lagi selepas berakhir 11 daripada 20 perlumbaan musim ini ketika musim cuti berehat tiga minggu sebelum Grand Prix Belgium.

Ia kemenangan pertama satu-dua buat Ferrari di Hungary sejak 2004. AFP

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 11:02am
d