arena

Aniq mahu menang di laman sendiri

Oleh myMetro

Bukit Merah: “Saya akan terus mempertahankan kejuaraan yang saya miliki di Kerteh, Terengganu dan tidak sabar untuk beraksi di laman sendiri di Sungai Buaya, Selangor kerana ia akan disaksikan oleh ibu bapa saya sendiri,” kata juara kategori Lelaki Junior, Khairul Aniq Mohamad Ghazali.

Khairul Aniq, 19, yang lebih senang disapa dengan panggilan Aniq berkata, dia tidak sabar untuk memperagakan kebolehannya kepada ahli keluarganya pada kejohanan di Sungai Buaya nanti.

Menurutnya, ibu dan bapanya tidak dapat datang untuk menyaksikan kejayaannya pada siri pertama di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini kelmarin namun pingat dimenangi akan ditunjukkan kepada keluarganya sebaik sampai di rumah.

Aniq hadir ke kejohanan itu bersama penajanya iaitu pasukan SBS Giant dan tidak menyangka berjaya menjadi juara keseluruhan walaupun kurang menjalani latihan.

“Saya baru memulakan latihan minggu ini selepas berehat ketika Ramadan dan Alhamdulillah berjaya memulihkan stamina dengan cepat sebelum bermulanya kejohanan.

“Semangat saya makin berkobar untuk siri seterusnya tambahan pula beraksi di kampung halaman sendiri dan berjanji akan mempamerkan persembahan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah kemenangan.

Aniq berjaya menamatkan kayuhan dengan catatan masa 1’33:49 menewaskan Zuladri Amin Zulkurnain dari FD Cycle (1’33:51) manakala tempat ketiga milik Zamirul Adlisham Zulkefli (1’33:57).

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 11:25am
d