arena

'Kami tak pilih lawan'

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka:Kedah tidak memilih mana-mana lawan andai mereka mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas mendahului Kumpulan C dengan sembilan mata.

Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff berkata, walaupun memiliki kedudukan lebih selesa untuk mara ke suku akhir namun beliau menganggap situasi itu masih belum selamat ketika memiliki baki dua perlawanan.

Menurutnya, pasukannya perlu memenangi satu lagi perlawanan sama ada berdepan UiTM FC atau Kelantan yang mampu mengesahkan tempat dengan pemain tidak mengambil mudah tentangan Lions Troops dan The Red Warriors.

“Kami tidak memilih sama ada Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Terengganu yang bakal muncul juara dan naib juara Kumpulan D pada suku akhir kerana semua pasukan dilihat memiliki kekuatan hampir sama dengan pemain perlu menterjemah persembahan terbaik jika berdepan mana-mana lawan sekalipun.

“Bagi saya peluang untuk mempertahankan kejuaraan tetap terbuka luas walaupun berdepan ujian getir pada suku akhir. Apapun fokus kami adalah melepasi peringkat kumpulan terlebih dulu,” ujarnya.

Beliau berkata, pemainnya beraksi pada tahap membanggakan ketika membelasah Melaka United 6-2 di Melaka kelmarin namun beberapa kesilapan kecil yang dilakukan perlu diperbaiki segera menjelang pertemuan dengan UiTM FC.

Sementara itu, jurulatih Melaka Eduardo Almeida berkata, kesilapan dilakukan pemain seharusnya menjadi pengajaran buat mereka dalam mengharungi saingan berdepan Kelantan dalam Piala Malaysia selepas ini.

Beliau menyimpan pemain utama bagi menghadapi saingan The Red Warriors dalam misi meraih tiga mata serta berdepan UiTM FC bagi menempah tempat ke suku akhir.

Menurutnya, pemain yang diturunkan dilihat tetap cuba memberi yang terbaik walaupun hampir mengejutkan Kedah namun kelemahan bertahan dan kesilapan pemain jelas menjadi faktor lawan membocori gawang pasukan.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 11:37am
d