arena

Isu Sanchez tak gugat prestasi pemain

Oleh AFP

London: Arsene Wenger menegaskan isu perpindahan Alexis Sanchez tidak akan menggugat Arsenal musim ini biarpun penyerang Chile itu enggan menandatangani kontrak baru.

Kontrak Sanchez akan tamat pada akhir musim akan datang dan dia tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menerima tawaran lumayan Arsenal dalam percubaannya berpindah ke kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara.

Manchester City, Chelsea, Paris Saint Germain, Bayern Munich dan Juventus dikaitkan dengan Sanchez, tetapi Wenger juga berharap dapat terus memujuk pemain berusia 28 tahun itu kekal untuk jangka panjang.

Pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil dan Alex Oxlade-Chamberlain juga berada pada tahun terakhir kontrak mereka tetapi apabila Wenger ditanya sama ada beliau bimbang, beliau menjangkakan pemainnya akan terus komited.

“Jika anda seorang pemain, anda bermain dengan baik hingga hari terakhir kontrak. Adakah anda fikir anda boleh duduk di bilik persalinan dan berkata ‘oh, saya hanya ada baki kontrak setahun jadi saya tidak akan bermain dengan baik,” kata Wenger.

“Jika betul, kami akan mengikat kontrak semua pemain selama 20 tahun. Saya tidak fikir tempoh kontrak ada kaitan dengan prestasi.

“Saya hairan apabila anda terkejut dengannya. Ia satu situasi yang ideal. Semua orang perlu memberikan yang terbaik.”

Sebelum ini Wenger pernah menjual Samir Nasri dan Robin van Persie untuk mengelak kehilangan mereka secara percuma apabila kontrak mereka tamat.

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 8:07am
d