arena

Tok Gajah wajib menang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain tengah Pahang Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mengakui skuad itu perlu menang ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) jika mahu beraksi pada suku akhir Piala Malaysia musim ini apabila kedua-dua bertemu di Stadium Darul Makmur malam ini.

Wan Zaharulnizam atau Kecik berkata, skuad Tok Gajah tidak boleh kehilangan mata memandangkan kelab dari Perak itu sudah mengesahkan slot ke suku akhir ketika dua lagi pasukan iaitu Negeri Sembilan dan T-Team juga masih berpeluang berbuat demikian.

Justeru, pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu mengharapkan skuad itu dapat beraksi dengan lebih baik terutama memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan mengutip tiga mata.

“Kami akui perlawanan esok (malam ini) amat penting sama ada Pahang masih layak untuk beraksi di suku akhir kerana kemenangan adalah penentu status dalam saingan Piala Malaysia.

“Tiada pilihan lain kecuali menewaskan PKNP untuk mengisi satu lagi slot memandangkan kelab itu sudah mengesahkan tempat manakala satu peluang kini menjadi rebutan antara Pahang serta Negeri Sembilan dan T-Team,” katanya semalam.

Namun, Wan Zaharulnizam berkata, skuad itu tidak boleh memandang mudah pertemuan dengan PKNP kerana kelab itu berada pada prestasi terbaik ketika ini tanpa kekalahan dalam empat perlawanan.

Justeru, dia bersama rakan sepasukan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah yang memakan diri kerana hanya kemenangan akan menghidupkan peluang ke suku akhir.

“Saya harap kelebihan di laman sendiri serta sokongan penyokong akan mengembalikan prestasi lebih baik,” kata pemain berumur 26 tahun itu.

Selepas empat perlawanan, Pahang kini berada di tangga ketiga Kumpulan A dengan tiga mata di belakang pendahulu PKNP FC dengan 10 mata, diikuti Negeri Sembilan (5 mata) dan T-team (2 mata).

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 10:32am
d