arena

Trek santai pikat peserta

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Bukit Merah: Rata-rata peserta yang menyertai Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) siri pertama di Bukit Merah Laketown Resort berpuas hati dengan pengurusan kejohanan yang disifatkan ada kelas tersendiri.

Kebanyakan peserta turut mengharapkan pengurusan akan terus mengekalkan kecemerlangan itu bagi siri kedua di Kerteh, Terengganu dan di Sungai Buaya, Selangor.

Seorang peserta, Zaidi Abdullah berkata, penganjur bijak dalam mengatur trek yang mana trek bagi siri pertama itu disifatkan lebih santai dengan corak muka bumi landai dan terdapat beberapa kawasan berbukit.

Menurutnya, pemandangan indah suasana perkampungan, tasik dan sawah padi menjadikan kayuhan itu sesuai untuk setiap peringkat umur termasuk amatur serta profesional.

“Saya yakin penganjur ada perancangannya tersendiri kalau kita lihat dari segi trek, memang ada cabaran namun ia lebih landai dan saya rasa penganjur akan memberikan trek yang lebih mencabar pada siri seterusnya.

“Dari segi pengurusan memang saya berpuas hati dan berharap ia akan terus dikekalkan kerana saya serta rakan adalah peserta tetap kejohanan anjuran Harian Metro ini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Sabri Mokhtar berkata, dia datang bersama keluarga ke kejohanan itu kerana siri pertama itu agak unik berikutan lokasinya di taman tema BMLR.

“Saya berkayuh manakala isteri membawa anak-anak mandi di taman tema dan kejohanan ini boleh dikatakan bukan saja kepada peminat sukan berbasikal tapi kepada seluruh keluarga,” ujarnya.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 12:07pm
d