arena

Lepas sajalah...

Oleh Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) digesa supaya tidak ‘mensabotaj’ persiapan skuad Bawah 22 tahun (B-22) dengan enggan melepaskan pemain yang dipanggil menyertai latihan pusat bagi mengharungi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bermula 14 Ogos ini.

Gesaan itu dilontarkan bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Khaidir Buyong yang mahukan pasukan melepaskan semua pemain yang dipilih pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee bagi membolehkan beliau membentuk skuad mantap dalam usaha merebut ibu segala pingat pada temasya serantau itu.

“Kita tidak mahu episod pada aksi kelayakan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 sebelum ini berulang lagi pada temasya Sukan SEA 2017.

“Justeru, saya harap pasukan boleh memberi kerjasama dengan melepaskan pemain yang diperlukan oleh skuad B-22. Ini membabitkan agenda nasional tambahan pula perlawanan berlangsung di negara ini.

“Pasukan seharusnya berbangga apabila pemain mereka dipilih mewakili skuad kebangsaan. Itu petanda positif mereka berjaya melahirkan pemain kebangsaan yang mampu menarik perhatian pengendali skuad B-22.

“Jika ada pasukan yang berdegil juga, saya harap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan sewajarnya untuk dijadikan pengajaran pada masa akan datang,” katanya yang juga bekas pemain kebangsaan era 70-an kepada BH Sukan, semalam.

Akhbar melaporkan semalam Kim Swee dijangka tidak berdepan masalah menghimpunkan barisan pemain terbaik dalam usaha meraih ibu segala pingat pada KL2017.

Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menegaskan tidak ada alasan untuk mana-mana pasukan yang enggan melepaskan pemain bagi menyertai latihan pusat skuad B-22 memandangkan tiada aksi Liga M berlangsung ketika saingan KL2017.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 12:30pm
d