arena

Milo suntik semangat Sukan SEA 2017

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Milo, minuman rasmi malt coklat untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur mengukuhkan lagi sokongan apabila memeriahkan acara Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Nestle (Malaysia) Berhad di Mutiara Damansara.

Larian obor yang ikonik ini menyusuli pelancaran kempen Milo #BersatuKitaTeguh yang dilancarkan baru-baru ini untuk bersama mengokong temasya dwitahunan itu.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Perniagaan Milo, Nestle Malaysia, Philomena Tan berkata, upacara itu adalah deklarasi komitmen sukan dan sokongan daripada Milo yang berterusan serta bertujuan untuk menunjukkan semangat perpaduan yang diwakili oleh pembawa obor.

“Api obor yang membara adalah simbol semangat kami terhadap sukan dan kami mengajak seluruh negara untuk bersama memberi semangat kepada atlet kita yang akan bertanding nanti,” katanya.

Larian obor dibawa mengelilingi negara sejak Mei lalu dan KL adalah hentian terakhir sebelum upacara pembukaan temasya itu bermula pada 19 Ogos ini.

Katanya, antara yang terbabit dalam larian itu adalah individu yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Milo dan sukan di Malaysia iaitu pekerja yang sudah lama berkhimat hinggalah kepada wira sukan negara dari pelbagai lapisan.

Setiap pembawa obor berlari sejauh 500m dengan Operator promosi luar Milo Mohd Nasir Abdul Kadir menjadi pelari pertama untuk diserahkan kepada wakil bahagian produk kilang Milo Ismail Mohd Dali dan Norhisham Mat Salleh.

Pengurus Pemasaran Sukan, Ng Ping Loong turut menjadi sebahagian daripada pembawa obor yang kemudiannya menyerahkan kepada ketua kontinjen negara Datuk Marina Chin.

Obor kemudiannya diserahkan kepada pemain hoki negara Joel Van Huizen, Yassmita Jadish Kumar, Joachim Chuah dan Philomena sebagai pembawa terakhir.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 12:34pm
d