arena

'Kami mampu atasi Singapura'

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pasukan bola jaring negara kini sudah tidak sabar untuk merampas kembali emas yang ‘dipinjamkan’ kepada Singapura apabila turun beraksi pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kapten pasukan bola jaring negara Nur Syafazliyana Mohd Ali berkata, kombinasi antara pemain semakin baik dan Kejohanan Pra Sukan SEA yang diadakan baru-baru ini membuktikan mereka sudah bersedia.

Berbekalkan latihan di Australia bulan lalu, Syafazliyana menegaskan pemain akan berentap berhabis-habisan untuk melunaskan dendam keperitan tewas dengan tiga mata kepada Singapura dua tahun lalu.

Biarpun dikhabarkan Singapura lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa berbanding skuad negara, Syafazliyana tetap yakin terhadap kemampuan pemain negara.

“Kami boleh tewaskan Singapura. Berdasarkan persediaan kami, saya yakin boleh.

“Prestasi pemain juga semakin meningkat dan segala kelemahan akan dibaiki dari semasa ke semasa,” katanya.

Awal bulan lalu, skuad bimbingan Tracey Robinson itu diberi peluang menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan di Melbourne.

Mereka berjaya melakar empat kemenangan dan kalah satu perlawanan menentang pasukan lelaki.

Menurut Syafazliyana, peluang ke Melborune sesuatu yang amat bermakna buat pemain kerana Australia pasukan terkuat dunia yang kini menghuni ranking nombor satu.

Corak permainan mereka yang pantas serta fizikal yang lebih besar, memberi pengalaman berharga buat negara menjelang Sukan SEA.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 12:58pm
d