arena

Yakin Khairul lakar kejutan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim yakin atlet didikannya Khairul Hafiz Jantan sekali lagi akan melakukan kejutan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur.

Selain memburu emas dalam acara 100 meter, beliau menanam keyakinan tinggi Khairul mampu untuk memecahkan rekod buat kali kedua dalam acara 200m.

Keyakinan itu disuarakan oleh Poad selepas melihat aksi konsisten Khairul di Terbuka Vietnam baru-baru ini.

Malah Poad menegaskan biarpun Khairul berjaya mencatat dua rekod kebangsaan dalam tempoh dua minggu, dia masih belum sampai kemuncak prestasinya.

“Saya memang mengawal graf kemajuan Khairul dan disebabkan itu Khairul tidak menyertai acara individu di Vietnam. Apa yang penting ketika ini memastikan dia bebas daripada sebarang kecederaan.

“Ketika ini apa yang penting ada lah fokus kepada latihan dan elakkan kecederaan,” katanya.

Tiga minggu lalu Khairul berjaya memadam rekod kebangsaan berusia 49 tahun dalam acara 200m milik Tan Sri Dr M Jegathesan 20.92s dengan catatan 20.90s.

Manakala minggu lalu dia bersama Haikal Hanafi selaku pelari pertama diikuti Jonathan Nyepa dan Badrul Hisyam Manap melakar rekod baru kebangsaan 39.62 saat dalam acara 4x100m.

Kuartet itu memadamkan rekod lama 39.67s yang dilakukan Jonathan, Izzudin Yahaya, Harith Amar dan Nixson Kennedy pada Sukan SEA Singapura 2015.

Mengulas mengenai sesi latihan berbaki 17 hari sebelum temasya Sukan SEA 19 Ogos ini, Poad berkata, latihan diteruskan seperti biasa pada sebelah pagi dan petang sebelum menyertai kem latihan pusat Jumaat ini.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 1:01pm
d