arena

Harapan kepada pemain muda

Oleh Izzali Ismail

PEMAIN muda menjadi taruhan Kedah menjelang aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur Kuantan, malam esok berikutan dua tonggak import, Ken Ilso Larsen dan Liridon Krasniqi tidak dapat beraksi akibat kecederaan.

Ketua jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff berkata, Ken Ilso Larsen yang tidak diturunkan pada perlawanan menentang UiTM Selasa lalu masih mengalami kekejangan otot dan dalam proses pemulihan begitu juga pemain tengah Liridon Kransniqi terpaksa direhatkan.

Katanya, tanpa dua tonggak utama itu, harapan diletakkan di bahu pemain muda tempatan untuk membuktikan kemampuan.

"Memang kita terasa akan ketiadaan dua tonggak utama ini kerana Liridon banyak menguasai ruang tengah dan kemampuannya mengumpan bola ke bahagian hadapan dan Ken Ilso pula dengan gerakan pantas dan ketajamannya.

"Selain itu seorang lagi pemain berpengalaman iaitu Fakri Saarani juga belum pulih daripada kecederaan selepas perlawanan menentang UiTM.

"Namun saya tetap yakin pemain gantian sedia ada mampu mengimbangi bahagian yang ditinggalkan itu dan bergandingan dengan seorang lagi pemain import Sandro Da Silva bersama pemain muda yang lain," katanya.

Nidzam berkata, kejayaan layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia membangkitkan lagi semangat juang pemain muda pada kali ini dan berharap mereka dapat meneruskan momentum kejayaan itu dalam misi memburu tiga mata di Kuantan.

"Dua pemain dari skuad Presiden Kedah iaitu Akhyar Rashid dan Akmal Azmi juga bakal memperkuat pasukan di samping pemain muda Amirul Hisyam, Syafiq Ahmad, Ariff Farhan dan Syawal Nordin,"katanya.

Mengakui kehebatan Pahang sebagai naib juara Piala FA musim ini , Nidzam mahu pemain meningkatkan tahap disiplin dan komitmen tinggi mereka.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 12:10am
d